Thursday, July 19, 2012

Curi tulang; dikira mencuri juga ke?


“Curi tulang dikira mencuri juga ke? Kena potong tangan tak?”

Kadang kadang bila kita tegur orang, jangan curi tulang. Berdosa kerana tidak amanah, selain menipu, jawapan di atas antara yang kita dapat. Apakah hukuman paling sesuai untuk si pencuri tulang, saya tidak pasti tetapi jelas, perbuatan ini salah.

Perbuatan curi tulang ini, di mana mana. Waktu masuk pejabat sudah ditetapkan , tetapi ada pekerja sengaja masuk pejabat lewat dengan alasan yang tidak sepatutnya. Begitu juga pelajar, waktu masuk sekolah sudah dimaklum tetapi masih ada yang suka melepak, mahu tunggu guru disiplin jemput.

Sampai di satu tahap, ada organisasi meletakkan syarat seakan akan tidak membenarkan pekerjanya bersolat. Benar benar tidak diberi kebenaran atau sikap pekerja menyumbang kepada peraturan itu?
Pengalaman saya sendiri, dahulu bekerja dengan syarikat bukan Islam (tuannya berketurunan Punjabi beragama Sikh) dikelilingi teman bukan Islam. Ruang solat disediakan dan rehat satu jam, cukup untuk makan dan solat Zohor. Tetapi ada pekerja yang mengambil rehat sehingga satu jam setengah dan alasan tidak sempat solat, tidak munasabah. Jadi bila orang atasan cakap “ anda mencuri tulang” ia memang logik.

Saya suka mengambil pengalaman teman teman yang pernah bekerja dengan orang Jepun. Kata mereka, orang Jepun mungkin tepat waktu habis kerja mereka mahu segera balik tetapi ketika waktu kerja, mereka benar benar bekerja. Rasa malu jika ditangkap ‘bermain-main’ dengan kerja yang diberi. Senang cerita, tabiat curi tulang susah dicari dalam kehidupan mereka

No comments:

Post a Comment